Isnin, 20 Februari 2012

MENUTUP AURAT BUKAN SEKADAR BERTUDUNG









Fenomena baharu sejak kebelakangan ini apabila ramai dari kalangan artis, selebriti mula memakai tudung selepas ‘puas’ berada dalam bentuk free hair. Gambar free hair mereka sebenarnya sudah terlalu banyak terpapar di internet.

Alhamdulillah, iman yang masih ada dalam diri masih menjerit-jerit secara halus meminta supaya mereka kembali kepada fitrah. Di antara fitrah itu ialah menutup aurat mereka terutama dari kalangan wanita. Ia bukan kongkongan tetapi bermaksud membimbing masyarakat menjadi baik.

Bagi mereka yang belum insaf, maka ambillah peluang lebih awal sebelum gambar-gambar free hair dan ‘berpakaian tapi bertelanjang’ mereka  terpampang dengan banyaknya dalam internet.

Bagi mereka yang mula sedar dan insaf, kita ucapkan tahniah dan terus istiqamah dengan bertudung. Cuma satu perkara yang mesti difahami oleh semua ialah apabila seorang wanita Islam mula bertudung, maka ia sebenarnya baharu kembali kepada fitrah dan bukanlah bermakna ia sudah menjadi ‘malaikat’.

Menutup aurat sebenarnya mesti melihat pelbagai aspek-cara bertudung, jenis pakaian, cara berinteraksi, perangai lama yang masih ada, termasuk konsep tabarruj yang masih jauh dilaksanakan oleh ramai wanita Islam. Sekali lagi ingin saya tegaskan, semua hukum ini tidak bermaksud mengongkong wanita Islam tetapi ia adalah sebagai tanda iman, tanda tunduk kepada perintah Allah, tanda menundukkan nafsu di bawah kehendak Allah dan tanda wanita itu menjaga maruah dan harga dirinya.



Presiden Teras(PertubuhanTeras Pengupayaan Melayu ) Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, walaupun memakai tudung di kalangan wanita Islam kelihatan sangat meluas dewasa ini, namun pakaian tudung dengan segala bentuk dan corak yang difahami oleh masyarakat telah menghilangkan makna menutup aurat seperti yang ditekankan dalam Islam.

Beliau berkata, fesyen berpakaian ketat tetapi bertudung, menggunakan tudung hanya waktu terrtentu sahaja, wujudnya kaum lelaki yang tidak menjaga aurat dalam beriadah dan berseni adalah antara gejala yang kini berleluasa dalam masyarakat.

Katanya lagi, tudung yang kini dilihat suatu fesyen terbaru ditanggapi hanya sebagai trend semasa yang akhirnya memesongkan kefahaman masyarakat terhadap pengertian sebenar menutup aurat seperti yang dituntut oleh Islam.

Menurutnya, kini gaya berpakaian bertudung sedang menjalani era komersialisasi yang amat pesat sehingga ramai artis dan wanita muda memakai tudung bukan kerana kefahaman dan penghayatan yang mendalam, tetapi kerana ia dilihat sebagai trend.

 Para wanita Islam sepatutnya mengingati hadis Nabi SAW, “Dua golongan dari kalangan ahli neraka, aku tidak akan memandang mereka di hari akhirat, iaitu lelaki yang bersama mereka cemeti sambil memukul-mukul manusia dan wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, berjalan sambil menggoyangkan kepala dan badan, di atas kepala mereka seumpama bonggol unta”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan