Khamis, 6 September 2012

Islam Hanya Pada Nama



 Alhamdulillah Ya Allah kerana memberikan kami nikmat kehidupan, nikmat berkeluarga, nikmat untuk berpuasa dan menjamah makanan yang halal, nikmat untuk merasa kebahagiaan, dan pelbagai nikmat-nikmat yang tidak terhingga dan terbilang oleh kami manusia yang lemah. Dan sesungguhnya nikmat Iman dan Islam yang Engkau berikan ini tiadakan dapat dinilai walaupun dengan jutaan ubudiyyah kami kepada-Mu. Apatah lagi dengan kalimah Alhamdulillah, Terima kasih Ya Allah.
Sungguh Islam ini adalah satu anugerah kepada setiap manusia dan hamba Allah yang hidup di dunia ini. Islam itu suci, indah dan penuh kesempurnaan. Dengan melafazkan kalimah syahadah diikuti hati yang percaya akan kewujudan Allah dan Kerasullan Nabi Muhammad s.a.w, seorang individu akan memeluk agama Islam dan menjadi seorang Muslim.
Ramai antara kita pada hari ini dilahirkan memeluk agama Islam taqlidiyyah iaitu secara ikutan daripada nenek moyang mereka. Apabila si ibu dan si ayah adalah Islam, maka secara tidak langsung si anak juga Islam atas dasar 'keturunan'- turun temurun. Antara kita yang ramai ini, siapakah antara kita yang benar-benar memahami Islam, mengamalkan cara hidup Islam, dan meletakkan Islam sebagai satu landasan dan keutamaan dalam hidup kita? Dan antara kita yang ramai ini, siapakah yang benar-benar beriman dan bertaqwa kepada Allah s.w.t?
Jika kita telah dilahirkan sebagai Islam, menjadi tanggungjawab kita untuk mencintai Islam, memahami Islam dan berusaha mencapai keimanan dan ketaqwaan. Kenapa kita perlu menjadi orang-orang Beriman dan Bertaqwa? Persoalan dan jawapannya harus datang dari diri kita sendiri dan jauhilah diri kita daripada menjadi golongan munafiq.
Pernah Hamba Allah ditanya oleh beberapa kenalan bukan Islam mengenai Islam dan setiap perlakuan orang-orang Islam yang lain. Ada yang bertanya kenapa itu kenapa ini?. Salah satu soalan yang pernah ditanya oleh kenalan bukan Islam adalah "Kenapa orang Islam tidak suka akan anjing dan budak-budak kecil beragama Islam apabila nampak anjing mereka melontar batu pada anjing tersebut"?
Persoalan yang kita anggap kecil ini mungkin menjadi satu penghalang kepada kenalan bukan Islam untuk mengenali Islam. Setiap haiwan adalah ciptaan Allah s.w.t dan kita perlu menyayangi setiap ciptaanNya, haiwan seperti anjing dan khinzir terdapat larangan-larangan yang digariskan oleh Islam. Namun begitu haiwan-haiwan ini tetap mempunyai haknya yang tersendiri untuk hidup di dunia ini. Kita perlu mendidik anak-anak kita dan generasi sedia ada dan akan datang supaya betul-betul memahami Islam dan mengamalkan cara hidup Islam. Hamba Allah pun bukanlah seorang Ustaz atau alim ulama untuk membicara tentang hukum-hakam namun menjadi tanggungjawab Hamba Allah dan setiap Muslim di luar sana untuk memahami dan mendalami Islam.
Salah seorang kenalan bukan Islam juga yang berbangsa Cina pernah berbual dengan Hamba Allah dan melalui perbualan tersebut dengan secara tidak sengaja Hamba Allah mendapat tahu bahawa kenalan bukan Islam tersebut belum berkahwin (kerana isu peribadi) dan mempunyai tiga orang anak angkat. Ketiga-tiga anak angkat tersebut beragama Islam dan mengaji di sekolah agama dan pondok.
 
Salah seorang anak angkatnya bakal menjadi seorang ustaz tidak lama lagi (InsyaAllah). Kenalan tersebut ada memberitahu bahawa sejak dia mempunyai anak angkat, dia pastikan yang segala duit yang dia ada tidak ada unsur haram (Judi dan sebagainya) kerana pernah ditegur pada awal-awal dia mengenal anak-anak angkat beliau. Anak-anak angkat beliau pernah bertanya "Halal kah duit ini"? Beliau pun bertanya maksud duit halal tersebut dan mengaku ada bermain judi dan beliau tahu mana satu duit judi dan bukan. Anak angkat beliau memberitahu secara ringkas, walaupun jumlah duit haram itu diketahui namun jika duit itu di dalam bank misalannya, duit itu bercampur dengan yang lain dan macam mana dia tahu mana satu duit halal atau haram yang dia keluarkan?
Kenalan tersebut masih belum dibuka hatinya untuk memeluk agama Islam. Hamba Allah bertanya kepadanya sama ada dia berminat akan Islam, dia menjawab Ya tetapi belum ada kekuatan untuk memeluk agama Islam. Hamba Allah doakan beliau mendapat hidayah, dibuka hatinya, dan diberikan kekuatan untuk memeluk agama Islam. Ameen.
Hamba Allah teringat tentang satu perbincangan radio IKIM (Institut Kemajuan Islam Malaysia) tentang seorang Cina yang memeluk agama Islam. Beliau mengatakan "Saya rasa zalim orang-orang Islam sekeliling saya dahulu semasa belum memeluk Islam kerana TIDAK ADA antara mereka yang pernah memberitahu tentang Islam atau mengajak saya untuk masuk Islam. Kalau pun tidak memberitahu atau mengajak, cukuplah kalau mereka menunjukkan perlakuan yang dapat menarik minat saya kepada Islam. Alhamdulillah Allah memberi Hidayah kepada saya dan saya maafkan mereka".
Sebagai Hamba Allah, kita perlu memahami, mendalami, dan mengamalkan cara hidup Islam. Kita perlu bersyukur akan nikmat-nikmat yang telah diberikan oleh Allah s.w.t dan menggunakannya sebaik-baiknya. Janganlah kita dustakan nikmat-nikmat yang diberi ini dan haruslah kita menjaga Amanah yang diberi. InsyaAllah.
Kesimpulannya, setiap kita adalah da'ie - Pendakwah. Walaupun kita mungkin buka berlatar belakangkan orang yang belajar agama, namun jadikanlah diri kita orang yang 'membawa agama' dalam kehidupan kita. Sekalipun kecil pada pandangan manusia atas apa yang cuba kita lakukan, sebagai contoh dengan menjaga adab-adab sebagai seorang muslim dalam pelbagai aspek kehidupan seperti ketika makan, ketika tidur dan ketika hendak ke bilik air, InsyaAllah jika kita lakukan semata-mata kerana Allah pasti akan memberi kebaikan kepada kita dan juga orang di sekeliling kita.
Usah kita hanya tahu menuding jari atau melepaskan tanggungjawab dakwah ini hanya pada mereka yang bergelar ustaz, ustazah mahu pun para alim ulama. Sesungguhnya dakwah itu luas. Mengajak kepada kebaikan itu juga dakwah. Berkata baik itu juga dakwah. Berpakaian menutup aurat itu juga dakwah. Hatta senyum itu juga dakwah.
Kenalilah, fahamilah, dalamilah, hayatilah dan amali lah Islam itu dalam kehidupan kita seharian. Usah jadikan diri kita Islam hanya pada nama sahaja.Semoga dengan dakwah sekecil ini dapat dapat melepaskan diri kita dari di soal oleh Allah di akhirat kelak. Dan semoga dengan dakwah sekecil ini melatih diri kita agar istiqamah menjadikan Islam itu sebagai cara hidup kita seharian. Semoga dengan dakwah sekecil ini juga dapat memperlihatkan keindahan Islam itu dan semoga dengannya nanti akan membuka hati-hati sahabat kita yang belum meraih hidayah dan mengakui hanyasanya Islam itu teralu indah! 


Biodata Penulis

Hamba Allah merupakan seorang lelaki yang dilahirkan sebagai seorang Islam, dinamakan Islam, dan dibesarkan di dalam keluarga Islam. Pernah melakukan kesilapan suatu masa dahulu namun mendapat hidayah Allah SWT. Alhamdulillah dan kini berusaha untuk mengamalkan Islam sebagai cara hidupnya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan