Rabu, 19 Februari 2014

urutan perinium

 

Urutan yang dilakukan di bahagian perineum amat digalakkan ketika hamil. Hal ini kerana ia sedikit sebanyak dapat membantu para ibu memudahkan proses kelahiran yang bakal dilalui kelak.

Para ibu dinasihatkan untuk memulakan urutan perineum di antara bahagian lubang dubur dan lubang faraj bermula daripada minggu ke 34 kehamilan sehingga tiba saat mahu melahirkan. Kajian menunjukkan urutan perineum berupaya mengurangkan koyakan pada bahagian perineum. Lalu, mengurangkan risiko episotomi yang biasa dilakukan oleh para doktor dengan menggunting sedikt bahagian faraj untuk melancarkan laluan bayi.

Lebih daripada itu, kebanyakkan wanita yang pernah mengamalkan teknik ini melaporkan mereka tidak mengalami kesakitan di bahagian perineum dalam tempoh tiga bulan selepas melahirkan.

Urutan ini boleh anda lakukan sendiri di rumah, satu hinga dua kali sehari dengan menggunakan minyak tertentu yang berasaskan sumber semulajadi. Antaranya minyak kelapa, minyak kelapa dara, minyak zaitun dan lain-lain. Namun yang demikian, elakkan daripada menggunakan minyak bayi, jeli petroleum atau apa jua jenis minyak yang mengandungi bahan kimia.

Selain daripada diri sendiri, anda boleh juga meminta suami melakukan urutan perineum. Apa yang lebih penting, lakukannya sewaktu anda tenang dan jangan sesekali melakukannya dalam keadaan terpaksa. Masa yang paling sesuai untuk melakukan urutan ini ialah sejurus selepas mandi. Lazimnya selepasmandi, bahagian perineum lebih lembut dan selesa untuk disentuh. 

Walau bagaimanapun, adalah dinasihatkan agar para ibu  mendapatkan pandangan daripada doktor terlebih dahulu sebelum melakukan urutan ini.


Langkah Demi Langkah

1. Cuci tangan anda dengan sempurna. Pastikan kuku sentiasa pendek.

2. Kedudukan yang sesuai untuk melakukan urutan ini ialah bersandar pada bantal di atas katil atau sofa dengan lutut dibengkokkan ataupun duduk di tandas. Dapatkan kedudukan yang selesa dan pastikan lokasi urutan adalah selamat dan tiada gangguan.

3. Sapukan jari dengan minyak pilihan anda.

4. Masukkan satu jari ke dalam dinding faraj iaitu lebih kurang 1 hingga 1.5 inci ke dalam faraj.

5. Pastikan empat jari lagi jari di bahagian punggung.

6. Tekankan ke bawah iaitu ke arah dubur dan sisi sehingga mengalami sedikit rasa regangan.

7. Tetapkan keadaan tersebut selama satu hingga dua minit.

8. Gerakkan ke semua jari mengikut bentuk U dan lakukannya berulang kali. Urut selama mana yang anda mahu atau sekurang-kurangnya lima minit setiap kali.

9. Selepas selesai melakukan urutan, buat kemutan pada bahagian faraj. Ia dilakukan sama seperti anda hendak menahan kencing atau menahan angin keluar. tahan selama 10 saat dan lepaskan 10 saat. Ulang semula sehingga 10 kali.

Info: Urutan ini tidak dibenarkan jika para ibu mempunyai jangkitan pada bahagian faraj.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan