Selasa, 15 Julai 2014

Berpantang tradisional melayu 1



Bagi ibu-ibu muda tempoh berpantang merupakan satu pengalaman baru. Badan harus dirawat agar bila tamat tempoh berpantang, anda tetap kelihatan segar semula seperti sebelumnya.

Berpantang merupakan tempoh waktu membosankan bagi setiap wanita selepas bersalin kerana menunggu selama 44 hari ibarat bertahun lamanya. Namun bagi mereka yang tahu akan rahsia berpantang, saat ini dipergunakan semaksimanya untuk mengembalikan kecantikan dan kesihatan diri luar dan dalam.

Amalan yang diwarisi daripada nenek moyang tidak sukar dilakukan, malah dedaun dan herba yang digunakan bagi tujuan rawatan, kini boleh dibeli di pasar harian.

Bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk mendapatkan dedaun, rempah-ratus dan herba untuk tujuan rawatan sendiri, bolehlah mendapatkan set bersalin lengkap yang sedia dijual di pasaran.

Kini terdapat pelbagai gedung kecantikan yang menjual dan menawarkan rawatan kecantikan khas bagi ibu bersalin seperrti Mustika Ratu, Lia Sari, Sari Ayu, Nona Roguy dan banyak lagi.

RAWATAN TRADISIONAL

Kebanyakan wanita muda masih mengutamakan cara perubatan tradisional serta petua daripada orang tua-tua bagi menjaga kesihatan diri sewaktu mengandung dan berpantang.

Biasanya amalan berpantang cara orang dulu-dulu dilakukan dengan bimbingan orang yang lebih tua. Kaedahnya pelbagai, bergantung kepada keturunan dan budaya seseorang.

Misalnya, cara wanita Kelantan mungkin berbeza dengan orang utara. Begitu juga ibu berketurunan Jawa, Arab, Cina atau India berbeza petua dan rahsia yang menjadi amalan mereka.

Walau apa jua cara yang digunakan, tujuannya tetap sama iaitu ingin menyembuhkan luka dan kesakitan ibu ketika bersalin dan selepas bersalin.

Banyak perkara misteri yang masih belum terhurai dan terjawab tentang rawatan selepas bersalin secara tradisi Melayu warisan pusaka. Apa lagi kalau hendak dihuraikan secara saintifik kerana masih belum ada penyelidikan dijalankan untuk membuktikan kebaikannya terhadap kaum wanita.

Namun kita sedia maklum akan khasiat herba dalam mengubati beberapa penyakit seperti akar Tongkat Ali atau nama sainsnya Eurycoma longfolia, Bunga Pakma dikenali juga sebagai Rafflesia, Kacip Fatimah iaitu Labisia pumila dan lain-lain lagi.

Rawatan dalam berpantang boleh dikategorikan kepada beberapa perkara dan menggunakan ramuan-ramuan yang tertentu.

Antara rawatan tersebut adalah bertungku, berurut, mandi herba dan mandi lulur, bertangas, memakai bengkung,  minum air akar kayu dan jamu serta berpantang makan dan minum.

BERTUNGKU

Amalan bertungku merupakan amalan tradisional yang penting ketika berpantang. Tidak lengkap berpantang sekiranya tidak bertungku.

Biasanya tungku diperbuat daripada besi sebesar botol 500ml dan beratnya kira-kira 1.5kg. Bertungku juga tidak semestinya menggunakan besi kerana batu sungai atau anak lesung juga boleh digunakan.

Ini kerana kesan bertungku bukan terletak kepada beratnya tungku tetapi tahap kepanasannya yang dapat meresap hingga ke dalam.Makin banyak masa bertungku kesannya bertungku makin kuat. Bertungku akan mengembangkan salur darah rahim di  tepi perut sekaligus akan mengeluarkan darah beku yang masih tersimpan dalam rahim. Bertungku membantu proses mpenyembuhan rahim.

Besi atau batu tungku perlu dipanaskan terlebih dahulu selama 1/2 - 1 jam di atas api yang sederhana. Kemudian tungku perlu dibalut dengan kain cita yang telah dilapik dengan daun mengkudu yang dikenali sebagai Morinda citrifolia.

Jika daun Morinda citrifolia tiada maka daun sirih iaitu nama sainsnya Piper betel atau daun lengkuas juga boleh digunakan.

Kesan panas dari tungku akan meresap ke dalam daun dan sekaligus bertujuan merawat bahagian badan semasa proses bertungku.

Proses bertungku dilakukan sambil berbaring dan tungku ditekan perlahan-lahan pada sekitar pangkal paha, berhampiran ari-ari/ bawah pusat dan di atas perut (bawah buah dada).

Untuk kesan tungku yang lebih baik tapak kaki serta tumit juga perlu ditungku.

Amalan bertungku ini penting memandangkan ia dapat menghangatkan badan ibu, membuang angin, menrelakskan  urat yang tegang  selepas bersalin di samping memperbetulkan serta melancarkan perjalanan darah.

Biasanya darah nifas mengalir lebih lancar selepas bertungku.

Justeru, bertungku adakala diteruskan hingga keluar darah terakhir berwarna seakan-akan putih keperangan atau dipanggil darah meroyan. Jika ibu rajin bertungku bolehlah diteruskan hingga habis pantang.

BERURUT MENYEGARKAN BADAN

Urut juga merupakan amalan penting dalam pantang. Ia hendaklah dilakukan setiap pagi sebelum mandi atau selepas bertungku. Pastikan rawatan ini dilakukan oleh bidan atau tukang urut yang berpengalaman.

Amalan urut perlu dilakukan seminggu selepas bersalin selama tiga hari . Bagi yang ingin merasa lebih segar, amalan berurut boleh dilakukan pada penghujung pantang iaitu hari ke 42, 43 dan 44 diikuti pada hari ke 60 dan ke 100 selepas berpantang.

Sebaiknya mulakan urutan pada sebelah pagi dan proses ini mengambil masa lebih dari satu jam.

Urut bertujuan memulihkan kesegaran badan, melancarkan peredaran darah, membuang angin, membetulkan urat, memperkemaskan bahagian perut dan mempercepatkan pengeluaran darah nifas serta kekotoran.

Urut hendaklah menggunakan minyak. Kini terdapat banyak minyak yang menggunakan herba dan khasiat tumbuhan yang dijual di pasaran. Misalnya minyak serai wangi, minyak kayu putih dan lain-lain lagi.

Namun jika rajin kita sendiri boleh membuat minyak urut.

Berikut adalah ramuan dan cara membuatnya:
  • Minyak kelapa [Dibuat sendiri menggunakan santan daripada sebiji kelapa, dimasak hingga menjadi minyak]
  • 3 camca besar halba
  • 4 cm halia (Zingiber officinale)
  • 4 cm kunyit hidup (Curcuma domestica)
  • 3 ulas bawang putih (Allium sativum)
  • 5 biji bawang merah (Allium cepa)
  • Cara membuat: Tumbuk kasar halia, kunyit hidup, bawang putih dan bawang merah. Masak bersama halba dan minyak hingga panas. Sejukkan dan simpan di dalam bekas kering agar tahan lama.
MANDI
Mandi tidak boleh terlalu kerap semasa berpantang. Oleh itu adalah lebih baik mandi menggunakan air rebusan dedaun ataupun mandi lulur menggunakan lulur.


[A] Mandi Dedaun

 
Setelah selesai bertungku dan berurut, lebih elok mandi menggunakan air rebusan daun daripada air biasa, kerana setiap daun yang digunakan mempunyai khasiat tersendiri.


Sebolehnya sepanjang tempoh berpantang, mandi hendaklah sepenuhnya menggunakan air rebusan daun atau sekurang-kurangnya selama dua minggu.
Jika di kampung, banyak daun kayu dan pucuk muda digunakan ibu atau nenek kita untuk mewangikan air mandi kala berpantang.


Antara daun yang boleh digunakan adalah daun kunyit terus, daun lenggundi (Vitex negundo), daun secerek, daun pandan, daun lengkuas, daun serai wangi, daun pisang kelat, daun capa, daun inai (Lawsonia terma), daun bonglai, daun mengkudu (Morinda citrifolia) dan rempah halba.

 
Sekiranya ramuan ini payah dicari di bandar-bandar maka ibu-ibu boleh mendapatkan daun-daun yang dijual di pasar atau mudah dicari di rumah-rumah jiran berhampiran.


Berikut ialah contoh ramuan yang diperlukan untuk menyediakan air rebusan untuk mandi:

  • 1/2 pelepah daun pisang kering atau daun pisang segar
  • 10 helai daun limau purut
  • 6 batang daun serai bersama serai
  • Halia muda sebesar 4 kali ibu jari
  • 7 helai daun pandan wangi atau pandan biasa
  • 2 helai daun kunyit hitam atau temu kunci
  • Seketul lengkuas atau 3 helai daunnya
  • Segenggam halba (dipunjutkan)
CARA MENYEDIAKAN AIR MANDI:

  • Ambil periuk tanah ukuran sederhana.
  • Sediakan bahan-bahan di atas.
  • Basuh bersih-bersih dan jerangkan bersama air di atas api yang sederhana.
  • Masukkan halba yang dipunjutkan.
  • Setelah air panas, ambil air rebusan ini dan campurkan dengan air pili dan pastikan suhu air, suam-suam kuku sahaja.
Mandi air rebusan dedaun ini juga seharusnya mengikut petua orang tua-tua.
Mulakan menjirus pada bahagian ibu jari [kaki kanan] dahulu diikuti kaki [kaki kanan] kanan hingga ke pinggang. 

Ulang pada kaki kiri.
Adalah penting memulakan jirus pada bahagian kaki supaya urat tidak tersentak apabila terkena air. Cara mandi ini dinamakn mandi sonsang. Ianya baik bagi  mengelakkan  demam dan selsema .

Kemudian ulang semula menjirus kaki hingga ke bahu kanan. proses yang sama dilakukan pada bahagian kiri dan seterusnya barulah mandi keseluruhan badan.
Daun-daun rebusan tadi boleh digunakan untuk menggosok badan agar khasiat dan harumannya meresap ke dalam kulit.
Punjut halba juga boleh digunakan untuk menggosok badan kerana ia dapat membantu memejalkan otot disamping menghalang air dari masuk ke dalam badan.
Adalah dipercayai amalan mandi cara ini dapat mengeluarkan angin di dalam badan, mengendurkan otot, menghaluskan kulit dan untuk tujuan awet muda.

 
[B] Mandi Lulur
Sebenarnya ilmu merawat wajah dan tubuh ini telah dikenali dan diamalkan kaum wanita sejak zaman dahulu lagi umpamanya puteri raja Mesir dahulu kala menggunakan kaedah mandi lumpur yang kaya dengan mineral untuk mencantikkan kulit.
Begitu juga warisan nenek moyang kita sendiri yang membuat bedak lulur menggunakan campuran tepung beras, tulang sotong dan daun nangka, bedak sejuk cekur atau bedak kulit ari daripada batang rambai untuk melulur kulit.


Sebelum mandi seluruh tubuh akan dilulur dan bahan yang terkandung di dalam lulur bertindak sebagai ‘scrub’ bertujuan membuang daki-daki yang melekat pada kulit. Dalam masa yang sama sel-sel mati akan turut tertanggal.

 
Bagi yang berkemampuan mereka boleh mendapatkan khidmat rawatan mandian di pusat-pusat kecantikan yang terdapat di negara kita.
Kebanyakan ramuan mandian yang digunakan adalah berupa ramuan herba, akar kayu dan rempah ratus yang mempunyai khasiat rawatan yang tersendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan