Isnin, 13 Oktober 2014

Minyak kelapa dara secara manual

Oleh Mohd Sabran Md Sani

Minyak kelapa dara (VCO) pernah dihasilkan masyarakat kampung secara tradisional menggunakan kaedah fermentasi (pemeraman) dengan menjemur isi kelapa yang diparut untuk mengeluarkan sejenis minyak.
Masyarakat dahulu juga percaya minyak kelapa yang dijemur pada sinaran matahari dapat mengekalkan khasiatnya terutama untuk dijadikan minyak urut dan minyak rambut.
Kelapa hijau antara bahan utama pembuatan minyak berkenaan kerana dipercayai mempunyai kandungan khasiat paling berkesan untuk merawat penyakit.
Meskipun kaedah pembuatan minyak itu sudah lama tidak dipraktikkan, usaha menghasilkan minyak kelapa dara secara manual masih dilakukan penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Foto
KELAPA dipilih untuk menghasilkan minyak VCO.

Penyelidikan secara manual dilakukan Penolong Pegawai Kanan Penyelidikan, Nurbaidillah Omar dan rakan setugas merangkap Pembantu Penyelidik Kanan Faridah Arifin di makmal Stesen MARDI Hilir Perak.

Faridah berkata, minyak kelapa dara secara manual sesuai untuk kegunaan petani kerana kosnya rendah.

“Kaedahnya begitu mudah, petani hanya perlu mengumpul buah kelapa tua dari ladang. Kelapa tua itu kemudian dikupas kulit dan diparut isinya.

“Isi kelapa parut kemudian dijemur di tengah panas ataupun dikeringkan dalam ketuhar gelombang antara 30 hingga 40 darjah Celsius,” katanya.

Menurutnya, kelapa berkenaan kemudian diperah sebelum airnya dibahagikan sama rata dengan sukatan air biasa dan santan mengikut nisbah 4:4.

“Kedua-dua bahan berkenaan dicampurkan ke dalam satu bekas sebelum dibiarkan selama 12 hingga 18 jam bagi menghasilkan bau yang harum.

“Dua bahagian kelapa berkenaan akan menghasilkan minyak kelapa dara dengan lampu dipasang pada suhu bilik 29 darjah Celsius,” katanya.

Kaedah fermentasi menghasilkan tiga lapisan seperti krim, minyak VCO dan air.

“Air akan dibuang, manakala krim pula dijadikan minyak kelapa dan bahagian tengah iaitu minyak VCO diambil untuk dituras bagi mendapatkan minyak kelapa dara.

“Sekurang-kurangnya kaedah penurasan menggunakan kertas turas dilakukan antara empat hingga enam kali dan bergantung kepada kualiti dikehendaki dan barulah dapat hasil berkualiti,” katanya.

Katanya, penyelidikan secara manual bagi menghasilkan kelapa dara dilakukan stesen berkenaan sejak 2004.

“Kaedah digunakan ketika itu berbeza dan bukan pada kadar satu nisbah satu (1:1) digunakan ketika ini. Kami menggunakan 70 peratus air daripada santan.

“Selain menjalankan kajian, kursus juga diberikan kepada peserta berminat untuk menghasilkan kelapa dara secara manual membabitkan penduduk setempat,” katanya.

Katanya, semua varieti kelapa sesuai untuk dijadikan minyak kelapa dara seperti kelapa tinggi kampung, rendah kampung, kacukan, pandan, matag, tagnanam dan lain-lain.

“Hasil daripada penyelidikan yang dilakukan bukan saja disimpan di makmal, malah dibawa ke pameran dianjurkan pelbagai pihak dan dijual kepada penduduk tempatan,” katanya.
 ( Harian Metro )Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/03

Tiada ulasan:

Catat Ulasan