Rabu, 29 Oktober 2014

SUNTIKAN EPIDURAL SEMASA BERSALIN



Apakah Itu Epidural Anaesthesia?

Epidural anaesthesia adalah satu teknik pembiusan yang mana ubat bius akan disuntik melalui tiub (catheter) ke dalam ruang epidural pada tulang belakang. Ia adalah proses pembiusan yang paling berkesan dalam mengurangkan kesakitan semasa bersalin untuk ibu dan bayi yang bakal dilahirkan.

Suntikan epidural analgesia ini menyebabkan kehilangan deria rasa (kebas) dan menghilangkan rasa sakit, dengan menghalang pergerakan impuls saraf pada saraf tunjang merangkumi bahagian abdomen ,peha ,kaki dan pelvik( punggung).

Teknik ini terbukti selamat dan telah digunakan di negara-negara seperti Amerika Syarikat, Britain, Australia dan New Zealand sejak lebih 30 tahun dahulu.

Siapakah yang Memberikan Suntikan Epidural Analgesia?

‘Anaesthesiologist’ atau pun dalam bahasa biasanya disebut pakar bius, yang akan melakukan suntikan tersebut. Pakar bius adalah doktor pakar yang terlatih dalam penggunaan ubat-ubatan untuk mengurangkan kesakitan serta prosedur-prosedur berkaitan dengannya.



Bilakah Kesan Ubat Bermula dan Berapa Lamakah Ia Dapat Bertahan?

Kesan suntikan epidural analgesia akan bermula dalam masa 10 minit dan mencapai kesan yang optimum dalam masa 30 minit. Ini bertepatan dengan masa yang diambil oleh ubat tersebut untuk meresap ke dalam saraf. Kesannya akan berterusan sehingga kelahiran bayi. Ubat boleh ditambah jika diperlukan semasa dalam proses bersalin.

Adakah Suntikan Epidural Analgesia Menyebabkan Proses Bersalin Menjadi Lambat?

Setiap bakal ibu memberikan respons yang berbeza-beza terhadap ubat epidural analgesia. Kebanyakkannya akan berasa gembira kerana epidural analgesia membuatkan mereka lebih selesa dan tenang. Hal ini dapat membantu mempercepatkan proses bersalin.

Sementara sesetengah yang lain, melalui suntikan epidural menyebabkan mereka tidak mempunyai rasa untuk ‘meneran’, lalu usaha yang dilakukan untuk mengeluarkan bayi kurang daripada yang sepatutnya, seterusnya melambatkan proses kelahiran bayi.

Pada amnya, epidural analgesia memberi peluang kepada ibu berehat semasa proses bersalin yang agak lama iaitu ketika pembukaan pintu rahim berlaku. Epidural analgesia akan mengurangkan kesakitan dan membenarkan ibu meneran bila perlu sahaja. Jadi bakal ibu dapat menyimpan banyak tenaga yang digunakan untuk menahan kesakitan sebelum tenaga tersebut digunakan untuk meneran. Sekiranya ibu tiada rasa untuk meneran, kakitangan bilik bersalin akan memastikan ibu meneran apabila berlakunya kontraksi. Jadi tiada masalah sekiranya rasa meneran itu tidak ada.

Apakah yang Akan Dilakukan Oleh Doktor Bagi Mempercepatkan Proses Bersalin?

Jika proses bersalin menjadi lambat sehingga boleh menyebabkan bayi lemas, doktor yang menguruskan kelahiran bayi akan menggunakan alat yang dinamakanforcep atau vacuum untuk membantu mengeluarkan bayi. Jarang-jarang, ianya berakhir dengan pembedahan Caesarean dan menyebabkan kos meningkat.




Apakah Kesan Sampingan Epidural Anaesthesia?



Kesan-kesan yang dirasai sejurus suntikan epidural diberikan adalah seperti menggigil, gegendang telinga berdering dan sakit pada belakang,tekanan  darah boleh turun secara tiba -tiba, sakit kepala yang  kerana pengurangan cecair spinal tapi  kurang 1% wanita yang mengalaminya.

Kesan jangka masa pendek adalah sakit kepala (1% mengalaminya), tekanan darah turun, rasa ingin muntah, sukar untuk membuang air kecil (disebabkan deria rasa berkurangan) dan rasa kebas di setengah bahagian bawah badan (dapatkan bantuan ketika ingin berjalan).

Manakala komplikasi jangka masa panjang adalah sangat minimum. Selalunya, yang sering dibimbangi ialah sakit belakang yang terjadi selepas epidural sehingga berpanjangan beberapa tahun selepasnya. Namun, kajian terbaru menunjukkan risiko mendapat sakit belakang selepas epidural adalah sama seperti risiko bagi wanita yang bersalin tanpa epidural. Oleh yang demikian, masalah sakit belakang ini sebenarnya berpunca ketika mengandung lagi, dan tidak berkait dengan kesan berpanjangan daripada suntikan epidural analgesia. Walaupun sakit belakang sememangnya dialami selepas suntikan epidural diberikan, ianya adalah sementara sahaja dan akan pulih kembali seperti biasa.

Siapakah yang Memerlukan Suntikan Epidural Analgesia?

Antara calon-calon yang sesuai diberikan suntikan epidural analgesia untuk mengurangkan kesakitan semasa bersalin ialah wanita yang pertama kali melalui proses bersalin, wanita hamil yang telah diberikan induksi ‘Pitocin’ bagi mempercepatkan proses kelahiran bayi, wanita hamil yang masih muda dan tidak berpengalaman serta takut dengan rasa sakit dan wanita hamil yang sering mengalami senggugut ketika haid sebelum hamil.

Siapakah yang Tidak Sesuai Diberikan Suntikan Epidural Analgesia?

Suntikan epidural analgesia tidak boleh diberikan kepada wanita hamil yang tidak mahu epidural analgesia, wanita hamil yang mengalami jangkitan di belakang badan sekitar tempat suntikan harus diberikan dan wanita yang mempunyai latar belakang pendarahan cair (coagulopathy).

Dalam Islam, Apakah Hukum Fiqh Berkenaan Pengambilan Suntikan Epidural Analgesia?

Tiap-tiap sesuatu yang menimpa orang Islam sama ada kepayahan, penderitaan atau kesakitan, pasti akan dihapuskan dosanya oleh Allah SWT, sebagaimana hadis daripada Abu Sa’id Al-Khudry dan Abu Hurairah r.anhuma, daripada Nabi SAW: “Apa-apa sahaja yang menimpa orang Islam seperti kepayahan, penderitaan, kekecewaan, dukacita, gangguan dan tekanan batin, sehinggalah duri yang mengenainya, pasti Allah akan menghapus dosa-dosanya (disebabkan hal-hal tersebut).” (Riwayat Bukhari)

Hal ini bukan bermaksud seseorang Muslim itu patut mencari-cari kesusahan, penderitaan atau kesakitan dalam hidup, atau pun tidak berusaha untuk mengelak daripada berlakunya perkara-perkara tersebut, bahkan sekiranya seorang Muslim itu berusaha mengelak takdir buruk yang bakal berlaku ke atas dirinya kepada takdir yang lebih baik, itu lebih mendekatkan dirinya kepada Allah SWT.

Daripada Aisyah r.ha: “Rasulullah SAW tidak diberi pilihan melainkan baginda akan memilih yang paling mudah daripada keduanya selagi ia tidak berdosa. Jika ia berdosa, dialah manusia yang paling jauh daripadanya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Juga daripada Ibnu Umar daripada Nabi SAW: “Sesungguhnya Allah suka dilakukan rukhsahnya sebagaimana Dia tidak suka apabila maksiat dilakukan.” (Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Al-Baihaqi)

Justerus, berdasarkan hadis-hadis tersebut, tiada masalah dalam penggunaan suntikan epidural analgesia dalam mengurangkan kesakitan semasa bersalin, kerana proses kelahiran adalah suatu proses yang sukar dan mempunyai risiko kematian.

Wallahua’lam.

Rujukan

1. Epidural Analgesia Semasa Melahirkan Anak: http://drzubaidi.com
2. Epidural Anaesthesia: http://portal.alamhamil.com
3. Islam Questions & Answers: http://islamqa.info
4.http://www.webmd.com/baby/tc/childbirth-epidurals-topic-overview

Tiada ulasan:

Catat Ulasan