Rabu, 19 November 2014

Sakit skiatika

Apa itu skiatika?


Saraf skiatik mengunjur daripada bahagian belakang pinggang ke bahagian belakang kaki sehingga ke tapak kaki. Saraf ini membolehkan anda merasa sensasi dan menggerakkan otot-otot pada bahagian kaki. Keradangan atau tekanan daripada bahagian belakang boleh menyebabkan kesakitan pada saraf skiatik ini, akibatnya berlakulah skiatika.

Kadang-kala, cara bagaimana saraf ini berfungsi boleh terjejas, menyebabkan kaki menjadi lemah atau rasa sakit yang mencucuk-cucuk. Anda boleh mengalami skiatika dengan atau tanpa sakit belakang dan rasa sakit atau ngilu ini boleh dirasai sepanjang bahagian belakang kaki.


Mengapakah skiatika berlaku dalam kehamilan


Ramai yang percaya wanita hamil lebih mudah mendapat skiatika, tetapi ini tidak benar. Sakit dan lenguh yang diakibatkan oleh kehamilan lebih tertumpu kepada bahagian pelvis dan belakang, bukannya sekitar saraf skiatik. Ramai wanita yang mengatakan mereka mengalami skiatika semasa hamil sebenarnya mengalami sakit girdel pelvis.

Skiatika tidak disebabkan oleh bayi yang menekan pada saraf. Bagi orang muda, ia biasanya disebabkan oleh kerosakan pada cakera tulang belakang menyebabkan bengkak di sekitar saraf atau oleh tekanan akibat tergelincir cakera (slipped disc). Bagi mereka yang lebih tua, ia mungkin disebabkan oleh tekanan pada ligamen (tisu-tisu kuat dan fleksibel yang mencantumkan tulang) atau tulang.

Tidak satu pun daripada kedua-dua situasi di atas berlaku lebih kerap semasa hamil, dan sekiranya anda benar-benar mengalami skiatika semasa hamil, ia mungkin akan berlaku juga tidak kira samada anda hamil ataupun tidak.

Jika anda fikir, atau seseorang memberitahu anda, bahawa anda mengalami skiatika, bacalah artikel kami mengenai sakit girdel pelvis untuk melihat samada ia lebih serupa dengan simptom-simptom yang anda alami.



Apakah simptom-simptom skiatika?

Anda akan mengalami kesakitan atau rasa perit yang datang dan pergi, selalunya pada satu belah bahagian badan. Anda mungkin rasa sakit pada bahagian bawah belakang, belakang paha dan sepanjang kaki sehingga ke tapak kaki. Anda juga mungkin rasa perit atau ngilu pada kaki, dan kebas atau semut-semut pada kaki atau tapak kaki. Kesakitan ini mungkin tertumpu pada satu tempat sahaja atau merebak ke semua tempat.

Bagaimanakah skiatika dirawat?


Doktor atau pakar obstetrik anda mungkin akan merujuk anda kepada ahli fisioterapi. Beliau akan menunjukkan beberapa senaman untuk membantu menguatkan lantai pelvis, otot-otot perut dan belakang anda. Beliau juga mungkin akan mengesyorkan anda menggunakan tali pinggang sokongan untuk kehamilan. Tali pinggang ini dipakai di bawah perut dan mengurangkan tekanan pada tulang belakang. Beliau juga akan memerhatikan perkembangan anda dengan lebih teliti untuk memeriksa fungsi saraf anda.

Jika fungsi saraf skiatik anda terjejas, anda mungkin diminta menjalani imbasan MRI. Imbasan ini boleh dilakukan semasa hamil, tetapi biasanya tidak perlu.

Separuh daripada mereka yang mengalami skiatika sembuh dalam masa enam minggu dan hampir kesemuanya (90 peratus) sembuh dalam masa 12 minggu. Ubat anti keradangan (seperti diclofenac atau ibuprofen) dapat membantu melegakan kesakitan jika anda masih mengalami skiatika selepas bersalin, tetapi semasa hamil, ubat ini kemungkinan besar tidak akan diberi.

Terapi-terapi lain yang mungkin berguna termasuk ostepati dan chiropraktik, tetapi penting bagi anda berjumpa dengan pengamal yang berdaftar dan berpengalaman merawat wanita hamil.



Tip-tip untuk membantu diri sendiri

Berikut adalah beberapa langkah yang boleh anda ambil:
  • Tuam bahagian yang sakit dengan tuala panas dan tuala sejuk secara berselang-seli selama 10 minit untuk melegakan kesakitan secara selamat bagi wanita hamil.
  • Pakailah kasut yang lembut dan rata untuk mengelakkan tulang belakang terhentak semasa berjalan. Namun sesetengah wanita mendapati kasut yang bertumit rendah dapat mengurangkan sakit belakang mereka.
  • Jagalah postur anda dan cuba bengkokkan belakang anda sedikit. Apabila duduk, letakkan kusyen kecil atau gulungan tuala di belakang pinggang untuk menyokong tulang belakang.
  • Elakkan mengangkat benda-benda berat. Jika anda perlu mengangkat sesuatu, bengkokkan lutut dan tegakkan belakang anda.
  • Dengarlah kata badan anda dan berhenti buat apa-apa yang menyebabkan kesakitan.
  • Kerap bergerak dan elakkan duduk diam untuk jangka masa yang panjang.
  • Gunakan bantal dan kusyen untuk menyokong perut anda semasa tidur.

Semasa dan selepas bersalin


Posisi bersalin yang boleh anda gunakan mungkin terhad sekiranya anda mengalami skiatika. Oleh itu, mintalah nasihat daripada doktor atau ahli fisioterapi. Kaedah bersalin dalam air menggunakan kolam bersalin mungkin dapat mengatasi masalah ini kerana anda lebih mudah bergerak dalam air.

Dengan apa jua masalah berkaitan belakang, penting bagi anda menjaga postur. Semasa menyusu badan, duduklah di atas kerusi yang penyandarnya tegak, naikkan bayi anda sehingga ke paras payudara dengan disokong menggunakan bantal atau kusyen, dan tapak kaki melekap di lantai.

Ketika menukar lampin, lakukannya di meja dan bukannya lantai. Apabila mengangkat bayi, pastikan belakang anda tegak, bengkokkan lutut dan elakkan pergerakan memusing.

Tanyalah doktor atau ahli fisioterapi mengenai senaman-senaman untuk memperbaiki kecergasan, kekuatan dan fleksibiliti anda. Senaman-senaman ini dapat membantu mengelakkan masalah ini daripada menjadi satu masalah jangka panjang.


Sumber:



Tiada ulasan:

Catat Ulasan